Friday, December 31, 2010

2011 - 1993 = 18 Tahun :) SELAMAT TAHUN BARU !

Amboi . Aku tengok semua orang dah ucap selamat tahun baru naaa . Jadi , aku pun mengambil kesempatan di saat beberapa jam lagi sebelum 2010 melabuhkan tirainya dan 2011 datang menjengah untuk menulis entri ini . Hari ini 31 Disember 2010 dan esok 1 Januari 2011 . Bezanya cuma sehari , namun dengan berganjaknya sehari ini banyak sebenarnya perbezaan yang boleh berlaku .

Hari ini mungkin ada bayi yang baru dilahirkan begitu juga esok . Tapi mereka tidak seumur . Hehe . Disebabkan oleh perbezaan satu hari , nanti yang lahir pada hari ini akan memasuki alam persekolahan terlebih dahulu . Ini jelas menunjukkan betapa besar impak satu hari kepada kehidupan seseorang . Dia akan belajar lebih banyak benda dalam kehidupan :)

Esok , kita akan sama-sama melangkah ke fasa baru kehidupan di tahun 2011 . Setiap daripada kita akan bertambah satu angka dalam usia masing-masing . Mungkin di tahun 2011 ada orang akan mula merahsiakan umur bila ditanya orang lain . Hehe . Sebab dah makin bertambah kot . Tapi apa pun terimalah kenyataan usia akan sentiasa bertambah , tidak akan pernah berkurang .

Kedut-kedut di muka ? Jangan risaulah ya . Itu perkara normal bagi manusia . Yang penting hiasi peribadi insyaallah muka akan sentiasa nampak berseri :) Dah masuk tahun baru , tinggalkanlah perangai yang tidak baik , transformasikan diri ke arah yang lebih baik di tahun baru ini . Lakukanlah perubahan sedikit demi sedikit , namun hanya perubahan ke arah kebaikan ok ! SELAMAT TAHUN BARU 2011 !

p/s : Setiap tahun ada saja azam yang tidak terlaksana dan akan dibawa ke tahun 2011.Anda bagaimana ?



Thursday, December 30, 2010

Cara mudah dan cepat untuk berkenalan

Masih solo dan tercari-cari cara yang berkesan untuk membuat seseorang terpikat atau mahu berkenalan ? Apa ? Guna gambar orang lain yang cun dan kacak sebagai profile pic anda ? Ahh . Jangan ! Ada cara lain . Aku tengok cara ini digunakan oleh segelintir orang di laman sosial Tagged . Apakah caranya ?

Terus je kasi bagi tahu nama , nombor telefon dan puji-pujilah sikit orang yang korang target tu . Cakaplah dia nampak comel ke apa la kan . Haha . Mahu kembang hidung target korang tu dan seterusnya mana tahu kot-kot boleh in a relationship pula nanti kan . HAHA . Siap-siapkanlah madah puitis sikit untuk dia . Kot-kot boleh cair . Selamat mencuba !

p/s : Tapi aku tak suka kalau dapat private message cam ni . Nampak macam tak sabar pula dia ni , aku lebih suka yang mahu kawan-kawan dulu kot :) 
    

Wednesday, December 29, 2010

JANGAN PAMERKAN KEBODOHAN DIRI SENDIRI

Seperti yang kita sedia maklum , Malaysia berjaya menundukkan Indonesia 3-0 dalam perlawanan pertama . Hari ini , bertempat di Stadium Bung Karno Jakarta , skuad negara kita akan sekali lagi berdepan skuad Indonesia . sudah pasti kedua-dua pasukan sudah menyusun strategi masing-masing agar memenangi perlawanan kali ini . Jika ada antara rakan bloggers yang melayari laman facebook , page AFF Suzuki Cup 2010 menjadi medan perbalahan antara dua negara . Pelbagai tohmahan dilemparkan rakyat Indonesia mengenai perlawanan tempoh hari . Kebanyakan mereka menjadikan pancaran laser sebagai kambing hitam punca kekalahan mereka .

Pelbagai kata kesat dilemparkan oleh mereka yang membuatkan rakyat Malaysia panas hati bila membacanya . Orang selalu berkata , jika kita berbuat jahat kepada orang lain , orang lain boleh membalas perbuatan itu . Kalau tiada yang memulakan , tiada yang akan membalasnya . Biasalah , lumrah kehidupan kan ? Bagi aku , mereka yang post status mengeji negara orang lain adalah orang yang bodoh dan tidak menggunakan otak . Memperkatakan tentang sesuatu perkara yang sudah terjadi tidak dapat mengubah apa-apa . Bukankah lebih baik kalian berdoa supaya pasukan negara kalian berjaya malam ini ? 

piala yang menjadi taruhan antara 2 negara
Apa-apapun aku doakan Malaysia berjaya menjulang piala AFF Suzuki Cup 2010 . Tapi sekiranya bukan rezeki Malaysia untuk menang , janganlah kita menghentam mereka . Aku yakin , semua pemain akan cuba yang terbaik demi negara Malaysia . Kalau bukan kita , rakyat Malaysia yang mahu menyokong mereka , siapa lagi kan ? Apa-apa pun , kita nantikan malam ini !


p/s : Coli laser dan bola . Aku rasa pemain-pemain lebih pilih bola . BOO JULIA PEREZ !

Tuesday, December 28, 2010

Segmen Menakalkan Blog by Mr Nakal :)


Syaratnya kena buat entry kenapa hangpa nak sangat blog hangpa di review oleh budak nakal ? Apa hangpa tak takut ka dia kutuk hangpa kaw-kaw ?

Jawapan aku : Aku nak tngok tahap kenakalan si budak nakal ni dalam komen blog aku ni . Kot-kot kat mata dia blog aku ni buruk ka , blog aku ni tak baguih ka . Apa-apa je la yang dia nampak tapi aku tak nampak , aku terima apa dia nak kata nanti . Yelah , syaratnya juga aku kena tahan mental . So, aku akan terima segalanya dengan pasrah . Hakhak . Dia kata dia akan review secara jujur . Ha . Sebab tu lah aku nak tengok kejujurannya tu . Ok tak jawapan aku wahai Budak Nakal ? Hehe .

Apa ? Hang nak join juga ? Haa . Klik SINI

Sekian !

Monday, December 27, 2010

ERKSS . DAH ROSAK TAK PERLU LAH PAMERKAN

Semalam aku pergi ke JJ Kinta City , Ipoh . Pergi beli barang sikit untuk PLKN dan kakak aku beli barang dia untuk masuk U . Kami pergi dengan kawan kakak aku , nama dia Kak Ain . Kak Ain nak beli hadiah untuk kawan dia .  Pusing-pusing Jusco cari hadiah tak jumpa yang berkenan . Jadi , kami pergilah ke kedai lain . Kedai yang kami pergi tu memang cantik . Jual perhiasan untuk home decoration . Rasa macam masuk kat dalam rumah , bukannya masuk kedai . Kedai tu ada 3 tingkat . 

Dah pusing-pusing , naik turun tangga , kak ain pun terpikat lah dekat susunan lampu-lampu tidur . Ada banyaklah dia letak di rak . Macam-macam stail . Cantik-cantik juga . Kak Ain pun tanya 

Kak Ain : Yang mana cantik ek ?
Ainismaira : Yang oren cantik , nampak berkilat , warna pun menarik daripada yang lain .

Ada lah seorang pekerja kat situ , dia tengok saja kami pilih-pilih lampu tu . Aku tengok dia macam nak cakap sesuatu . 

Pekerja : Yang warna oren semua dah rosak , yang belah sini pun semua dah rosak . Yang masih elok cuma yang warna biru dan hijau . 

Erksss . Berkerut dahi kami , yelah kalau dah rosak tak perlu lah letak di rak . Sebab lampu-lampu yang rosak tu menarik kot , sebab tu dia biar je kat situ . Hehe . Terpaksalah kak Ain pilih antara warna hijau dan biru . Itu pun banyak yang ada pecah-pecah sikit badan lampunya . Aiyaa . Jatuh imej kedai tu . Hehe . 1/4 saja yang boleh digunakan daripada semua lampu yang dia pamerkan di situ . -,- 

Sunday, December 26, 2010

500 BLOG !

klik banner di atas untuk turut serta

Info mengenai pemilik blog :
  • Nur Azila Ismail
  • Berusia 18 tahun pada tahun 2011
  • Tinggal di Perak Darul Ridzuan



Tujuan menjadi blogger : 
  • Menjana idea untuk dikongsi bersama pembaca 
  • Berkenalan antara satu sama lain 
  • Bertukar pendapat di ruangan komen blogger lain 
  •  Memperbaiki penulisan daripada semasa ke semasa 
  • Mencari ilmu pengetahuan tambahan
  • Supaya dapat mengikuti perkembangan semasa


Saturday, December 25, 2010

SELAMAT MENUNTUT ILMU,KAKAK :)

Dari kiri : Kakak , Jila , Adik




Assalamualaikum , esok kakak saya yang ke empat merangkap anak ma abah saya yang kelima akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) yang terletak di Tanjung Malim . Saya tumpang gembira kerana kakak saya terpilih setelah melepasi temuduga untuk ke sana . Alhamdulillah . Kita harap kamu belajar baik-baik kat sana . Nanti kita mesti rindu dengan kamu :)

Nanti kalau dah tahu jalan nak balik Bidor dari sana , boleh la kamu balik rumah sekali-sekala . Kesian Tirah duduk rumah dengan ma dan abah . Mesti dia sunyi tanpa kita berdua nanti . ( Betul ke tirah ? Hehe ) Kita juga harap kamu dapat rakan serumah dan rakan sekuliah yang baik . Kita tak nak tengok kamu sedih lagi sebab kawan . Nanti mesti kamu akan jumpa lagi ramai kawan dan lagi baik daripada yang dulu tu . Lepas kamu pergi ni , tak tahu lagi bila kita dapat jumpa kan . Hehe . Kamu kena rindu kita tau . Hakhak . Kita doakan kamu berjaya . Amin .

Selamat menjadi pelajar UPSI :)

p/s : Barang da kemas ? Borang dah isi ? :p
p/s untuk pembaca : Nak lawat blog dia ? Klik link ini [Ainismaira]


Friday, December 24, 2010

200 blog !



Thursday, December 23, 2010

WRESTLING : ADA KE YANG MINAT ?

Tadi aku tengok TV3 , rancangan yang sedang disiarkan ialah rancangan gusti tu . Terus tutup TV . Apa entah namanya , aku tak berapa pasti . WWE Smackdown ke apa tadi . Hehe . Daripada aku kecil sampai besar . aku tak suka betul rancangan tu . Entah apa-apa . Pukul-pukul , baling-baling orang , sampai berdarah-darah , haiyaa , macam apa saja . Pelik betul ada orang suka tengok . Hehe

Yang aku kenal seorang saja , The Rock . Haha . Tu pun sebab dia selalu keluar dalam iklan . Yang sempat aku tengok dalam rancangan tu , ada banyak perempuan seksi gila . Entah apa motif aku pun tak tahu . Lepas tu muka lelaki-lelaki dalam rancangan tu semua bengis gila , badan berketul-ketul . Seram . Tapi ramai juga rupanya yang minat rancangan tu kan . Kadang-kadang tengah mesej kawan , tanya dia tengah buat apa , jawapannya tengah tengok wrestling . -,-

p/s : Awak yang baca entri ini minat tak tengok wrestling ? Hehe


SAYALAH BLOGGER ITU







SIMPLESTZIEYLA
SIMPLESTZIEYLA

SIMPLESTZIEYLA
SIMPLESTZIEYLA
SIMPLESTZIEYLA
SIMPLESTZIEYLA
SIMPLESTZIEYLA
SIMPLESTZIEYLA
  SIMPLESTZIEYLA 
 SIMPLESTZIEYLA



Wednesday, December 22, 2010

8A PMR : Tidak Mustahil

Tahun 2008 :)


Kakak kata : Ala pemeriksa silap tanda kertas kamu tu . Haha . 
Kakak seterusnya kata : Ala nasib je kamu dapat 8A tu . 
Kakak lain kata : Nanti balik akak nak tengok slip kamu , betul ke dapat 8A tu .


Serius , aku pun tak percaya dapat 8A , dalam fikiran tak menduga sama sekali akan menerima keputusan semua A . Yelah , sebab aku banyak main-main waktu tu . Sampaikan abang dan kakak-kakak berkali-kali menegur aku . Memang liat sangat nak baca buku . Tapi alhamdulillah , dapat juga 8A , kakak aku ada juga kata , mungkin markah sipi-sipi jer nak A tu . Hehe . Yelah , cakap la apa pun kan . Aku terima :)


Haa . esok , 23 Disember 2010 , adik-adik kita akan mengambil keputusan PMR mereka , harap-harap tercapailah target ya . Jangan jatuh merudum pula . Jangan nanti bila masuk sesi persekolahan tahun 2011 , cikgu komen macam-macam semasa perhimpunan kerana prestasi yang merosot . Hehe . Akak (ceh akak tau ) tak pernah dengar lagi cikgu bebel mengenai keputusan peperiksaan sebab tahun akak peratus meningkat . Yeah ! Bangga ? Mestilah . :D


Jangan kecewa pula bila keputusan tak seperti yang dijangka , hidup ini ada jatuh bangunnya . Asalkan kita tidak berputus asa , pasti kejayaan akan mengiringi adik-adik . Bersyukur dengan apa yang bakal diperolehi ya :) SPM ada lagi untuk kau orang buktikan kemampuan . Chaiyok !


p/s : Share la result PMR kau orang yang dah lama habis PMR tu . Hehe :D



Tuesday, December 21, 2010

Kalian Hanyalah Sepasang Kekasih !

Muak rasanya bila telinga ini harus mendengar luahan hati kamu tentang kekasih kamu . Saya rasa kamu tak perlu mencanangkan pada semua orang tentang betapa bahagianya kamu bersama dia . Tak perlu juga kamu menceritakan apa yang pernah kalian lakukan bersama-sama . Indah kononnya . Namun semua itu adalah dosa . Bersentuhan atas alasan telah rasmi menjadi pasangan . Sedangkan kalian bukan muhrim . Apa sebenarnya yang dicari dalam kehidupan ? Keseronokan yang tiada penghujungkah ? Sekarang mungkin kamu seronok melakukan hal-hal sedemikian , lambat-laun , apabila kamu ditinggalkan , tiada guna kamu menangis :)

Saturday, December 18, 2010

BLOGGER LELAKI MEMANG SIKIT JE KE ?

Assalamualaikum semua . Adakah benar perempuan lebih ramai yang melibatkan diri dalam dunia penulisan blog berbanding lelaki ? Jarang-jarang aku menemukan blogger lelaki ketika blogwalking atau ketika komen di entri rakan-rakan blogger . Rata-rata komen yang aku baca adalah daripada blogger-blogger perempuan . Ke manakah blogger lelaki menghilang ? Atau mereka appear invisible kepada aku ? HAHA sampai hati .

Penulisan blogger lelaki mempunyai daya tarikan tersendiri . Blogger lelaki juga lebih mudah menarik perhatian pembaca berbanding blogger perempuan kerana idea yang mereka ada lebih segar dan menarik . Mereka bijak mengolah idea mengikut kreativiti yang tersendiri dan mempunyai originaliti dalam penulisan . Walaupun entri mereka lebih santai berbanding entri blogger perempuan , ianya terus mendapat perhatian kerana mengikut beberapa komen , ramai orang lebih suka membaca entri yang pendek dan menggunakan imej atau grafik untuk menyokong isi kandungan blog itu kerana lebih mudah difahami . Kebanyakan blogger lelaki menepati ciri-ciri ini . Aku harap lebih ramai blogger lelaki akan turut serta memeriahkan dunia blog .

p/s : Awak yang baru baca entri ini lelaki ke perempuan ? Hehe . 




Friday, December 17, 2010

DULU AKU NAKAL


Assalamualaikum semua . Hari ini nak join segmen Ben Ashaari . Lama dah tak turut serta sebab tak dapat catch up segmen-segmennya  .Tengok-tengok dah tutup . Hehe . 

Nama sekolah rendah dan sekolah menengah  termasuk tahun 
Sekolah Kebangsaan Bidor (2000-2005)
Sekolah Menengah Kebangsaan Syeikh Abdul Ghani (2006-2010)

Aktiviti ko kurikulum yang korang ceburi
Aaa . malu-malu . Saya seorang yang sangat tidak aktif . Hehe . Ada sikit saja pernah saya ceburi antaranya Kawad Kaki dan Inovasi Sains

Jawatan yang di sandang dulu
Sekolah Rendah : Penolong Pengawas Pusat Sumber
                          Lagi . . Tak ingat dah :D

Sekolah Menengah : Pengawas Sekolah
                             Naib Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah
                             Bendahari Pergerakan Puteri Islam
                             AJK (masa jadi junior)

Nama guru kesayangan
Sekolah Rendah : Teacher Aini Suzana
                          Puan Hajah Norainun 
                          En Narizan

Sekolah Menengah : En Zul ( my favourite )
                             Teacher Hanani ( superb ! )

Subjek paling disukai dan tak suka
Bahasa Melayu sebab suka menulis , Matematik sebab seronok bila dapat jawab . Kimia best sebab dapat buat macam-macam eksperimen . Biologi pun best sebab dapat tahu banyak perkara yang tak pernah tahu . Fizik pun best juga sebab dapat tahu mengapa sesuatu fenomena itu terjadi
Tak berapa suka Sejarah . Huhh . Ngantuk . 

Kawan baik masa sekolah
Sekolah Rendah :  Darjah 1 : Nurul Fatihah
                           Darjah 2 : Nadhirah Tajuddin dan Wan Nur Faatihah
                           Darjah 3-6 : Nur Farahin Johari

Sekolah Menengah : Tingkatan 1 dan 2 : Islia Iqmy Ismail
                             Tingkatan 3 : Nur Sabirah
                             Tingkatan 4 dan 5 : Nulhazwany Abdul Malik :)

Cita cita masa sekolah dulu
Masa sekolah rendah , selalu kalau orang tanya , jawab nak jadi doktor . Kadang-kadang nak jadi akauntan . Bila masuk sekolah menengah , rasa nak jadi cikgu or pensyarah :)

Artis feveret masa sekolah dulu
Masa sekolah tengah top program-program realiti , setiap masuk musim baru , cepat-cepat cop yang paling handsome dan suara sedap . HAHA . Antaranya Nubhan , Akim , Shahir. Tapi tetap minat Anuar Zain , Faizal Tahir dan banyak lagi sebenarnya .  Hehe

Perkara yang paling tak dapat dilupakan masa sekolah 
Masa Tingkatan 3 , kena rotan dengan Penolong kanan pentadbiran sebab tak datang kelas tambahan . Ergghhhh . Kena satu rotan di telapak tangan . Bengkak juga beberapa hari . Itulah kali pertama aku cuba ponteng kemudian kantoi . Padan muka aku . Terus dapat balasan !

Jika dapat kembali ke zaman persekolahan , apakah yang ingin korang lakukan
Aku nak pergi tahun masa aku Form 1 , lagi sikit nak kalahkan Tan , budak paling pandai dalam kelas aku . Aku no 2 masa tu . Orang lain tak pernah merasa No 1 , setiap kali exam , dia saja yang jadi juara . Tapi apa nak hairan , orang rajin belajar kan . Hehe

Ceritakan kenakalan yang tak dapat dilupakan sewaktu sekolah dulu 
Masa tingkatan 2 , aku menyelinap keluar daripada pintu belakang kelas masa subjek Bahasa Melayu . Wa memang dah tak tahan , cikgu tu boring sangat . Hehe . Terasa nikmat gila hidup masa dapat keluar tu . Haha . Aku abaikan status aku sebagai seorang pengawas sekolah ketika berbuat demikian . Tapi itulah kali terakhir , lepas tu wa tak buat dah :D

Monday, December 13, 2010

SPM TAMAT !

5 petang 13 Disember 2010 . Yeah . SPM tamat . Peperiksaan terakhir ialah Pendidikan Seni Visual Kertas 2 . Setelah beberapa hari keliru dengan 6 pilihan soalan , aku telah memilih soalan 


Anda telah melawat ke kedai ikan hiasan. Anda terpikat dengan kecantikan warna, bentuk dan aksi seekor ikan laga dalam sebuah balang kaca. 
Gambarkan aksi seekor ikan laga dari jarak dekat dengan memberi penekanan kepada bentuk, warna, jalinan dan pergerakan.


Haa , aku pilih soalan ini . Nampak mudah , tapi agak sukar untuk memberi nyawa kepada ikan itu seolah-olah kelihatan sedang bergerak . Nasib baiklah ada kakak yang sudi membantu . Tapi risau juga andai ada aspek seni yang diminta tidak memenuhi citarasa pemeriksa . Tapi aku dah cuba yang terbaik :) 

Dalam hati memang gembira SPM tamat . Tapi nanti pasti akan merindui zaman persekolahan . Tapi hidup harus diteruskan . Lepas ni kena la biasakan diri apabila orang bertanya soalan :

Soalan : Umur berapa ?
Jawapan : 18 tahun

Soalan : Study lagi ke ?
Jawapan : Baru habis sekolah . Tengah tunggu result .

Hehe . Pasti akan terasa janggal dengan jawapan baru kepada soalan yang pasti aku terima setiap hari di laman sosial . Apa-apa pun , inilah yang dinamakan kehidupan . Kita perlu bergerak seiring dengan waktu demi mengejar kejayaan di masa hadapan .Setelah melepasi alam persekolahan , cabaran baru bakal ditempuhi :)

Saturday, December 11, 2010

PELIK SANGAT KE NAMA BLOG AKU NIH ?

Sila klik banner di atas untuk turut serta :)

Dari mana aku dapat nama blog ini ?
Seperti yang tertera di atas sekali , nama blog aku ialah SIMPLESTZIEYLA . Aku dapat nama blog ini daripada otak aku sendiri.

Maksud disebalik nama blog aku ?
Aku suka sesuatu yang paling ringkas . Jadi aku gunakan perkataan dalam Bahasa Inggeris iaitu simplest . Zieyla pula nama aku . Saja je tambah e dan y pada nama aku untuk nampak lebih komersial . Haha . Perasan sebentar

Orang kuat blog aku ? 
Adik beradik yang paling aku sayangi serta rakan-rakan blogger .

Angan-angan terhadap blog aku ?
Aku nak capai sekurang-kurangnya 5000 pageviews untuk sebulan dan 700 followers sebelum aku berangkat pergi ke Penang :)

Kalau nak tukar nama blog , nak tukar nama apa ?
Zieyla Ashaari . Eh tak tak . Aku tak mau tukar . Hehe :D

Kalau berkemampuan nak iklankan blog kat mana ?
Kat majalah :)

Blog yang wajib disinggahi setiap hari ?
Borak Kosong . Banyak gambar yang menarik . Memang best :)

Sila lengkapkan .. SAYA SUKA BLOG SAYA KERANA .... tidak lebih 20 patah perkataan ..
Saya suka blog saya kerana blog ini hasil tulisan dan usaha saya sendiri :)

Sekian , 

eqbalzack 2010 Giveaway Contest

Assalamualaikum . Terima kasih kepada Iqbal Hakimi yang tag aku untuk join eqbalzack 2010 Giveaway Contest ni . Katanya sebagai kerja sekolah selepas aku tamat sekolah . Haha . Sampai hati iqbal . Aku baru nak relaks tau . Hehe . Apa-apa pun terima kasih la sebab tag ya Iqbal ! :)

Kenapa aku berminat mahu menyertai giveaway ini ? Mari lihat apa habuannya :


Prizes: Upin & Ipin Calender 2011
Number of prizes: 5
Contest Start Date: December 10, 2010 (Friday)
Contest End Date: December 17, 2010 (Friday): 11.59 pm


Wah comel kan ? Aku tak pernah ada kalendar secomel ini . Alangkah indahnya kalau Upin dan Ipin dapat menghiasi meja belajar aku  . Hehe . Bolehlah aku tanda hari-hari yang penting bagi tahun 2011 contohnya macam tarikh keputusan SPM 2010 akan diumumkan , tarikh aku pulang daripada PLKN , tarikh untuk permohonan UPU dibuka dan ditutup . Penting kan kalendar ni ? Kalau nak aku tanda hari jadi rakan-rakan blogger pun boleh kan .  :)

Setiap pertandingan mesti ada syarat bukan ? Berikut adalah syarat-syaratnya :

1. Be Eqbal Zack's followers.
2. Tag at least ONE (1) of your followers to let them know about this Giveaway. 
3. Post 'A VERY SIMPLE, SHORT & CREATIVE' entry in your blog under the title :

"eqbalzack 2010 Giveaway Contest"

4. Entry must be given wholly in Bahasa Malaysia or English language. 'Rojak' also can lah! hehe...
5. Place the banner below at your sidebar and link the banner to Eqbal Zack's blog at http://www.eqbalzack.com



6. Leave your entry link/comment.
7. And Eqbal Zack will pick the best FIVE (5) entry. 

Saya nak tag 


Anda berminat ? klik SINI



Friday, December 10, 2010

GUNA BAIK-BAIK TAU

Assalamualaikum . Sekarang aku tengok budak-budak yang dah habis SPM tengah berfikir apa yang patut dibuat dalam cuti selama beberapa bulan ni . Kalau ada rakan-rakan yang senasib dengan aku , perlu ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) memang tak perlu risau lah , macam-macam aktiviti dah tersedia untuk kita . 

Kepada rakan-rakan yang lain , gunakanlah waktu cuti dengan sebaiknya . Ada yang bercadang untuk bekerja , mengambil lesen kereta dan tak kurang juga yang mahu hanya tinggal di rumah . Mungkin online sampai lebam . Haha . Kepada yang rajin online tu , janganlah pula sengaja mencari masalah dengan orang lain , konon boring . Banyak lagi benda kau boleh buat selain menyakitkan hati orang . Dalam hidup kita mesti ingat tak semua orang suka kita dan ada segelintir orang yang akan sentiasa cuba menjatuhkan kita .

Aku tengok dah macam jadi trend , guna status facebook untuk menyumpah seranah orang lain . Macam-macam perkataan yang memang tak patut digunakan terpapar secara terang-terangan di status . Kalau ada rasa tak puas hati , aku rasa tak perlu dicanang kepada semua orang di laman sosial . Bagi aku , tindakan ini tak bagus sama sekali . Malah macam dah jadi satu kebanggaan bila ada orang like atau komen dengan memberikan kata-kata sokongan yang entah apa-apa . 

Dunia ini semakin aneh bukan ? Matlamat menghalalkan cara . Asal kau dapat apa kau mahu , semua benda jadi halal di mata . Kita orang islam kan ? Kita ada pegangan kan ? Kita ada otak kan ? Fikir baik-baik . Ingatlah setiap amalan baik dan buruk dicatat oleh malaikat . Lagi satu , setiap entri aku adalah cetusan rasa aku sendiri . Tak ada kaitan antara yang hidup atau mati cuma ianya adalah sikap-sikap negatif  yang memang ada dalam diri segelintir daripada kita . Singkirkan segera ya :)


Thursday, December 9, 2010

NAK RASA SAKIT DITERTAWAKAN ?

Kadang-kadang kita kata pada diri kita , kenapa dia nak sensitif sangat . Kita gurau sahaja , tak bermaksud apa-apa . Ya memang pada kita itu satu gurauan biasa , tapi bagi orang yang terasa dengan kata-kata itu , bagaimana pula ? Kita kena faham ada orang boleh menerima sesuatu gurauan itu sementara mungkin ada seseorang lagi yang terluka dengan gurauan tersebut . 

Walaupun mungkin di depan kita dia tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia terasa dengan kata-kata kita , namun itu tidak bermakna dia tidak kisah dengan apa yang diperkatakan . Bagi aku , sesuatu lawak itu hanya kelakar pada kali pertama diceritakan dan akan bertukar menjadi sesuatu yang menyakitkan hati apabila kerap diperkatakan . Gurauan yang seperti sindiran sinis sudah semestinya bisa merobek hati seseorang .

Mungkin ada antara kita menganggap hidup ini tidak ada keseronokannya jika tidak bergurau senda namun harus diingat dalam bergurau harus ada batasannya . Jangan sehingga ada hati yang tersinggung dengan kata-kata tersebut walaupun dia kawan kita sendiri . Di depan kita mungkin dia turut sama tertawa namun dalam hati siapa yang tahu . Kerap kali kau ulang perkara yang lawak bagi kau tapi langsung tidak lawak pada aku .  

Bila orang usik kau , tahu pula kau melenting ? Fikir baik-baik , kalau kita buat orang , orang boleh balas semula . Masa tu baru kau tahu sakitnya bila ditertawakan .

Wednesday, December 8, 2010

GEMBIRA + BUNTU

Assalamualaikum . Alhamdulillah syukur aku sudah berjaya menamatkan SPM aku . Terasa mahu menjerit lega tapi tidak , kena mengawal diri kerana masih ada lagi satu peperiksaan yang tersisa . Apakah itu ? Pendidikan Seni Visual Seni Halus pada 13 Disember bersamaan hari Isnin . Bererti pada pukul 5 petang hari tersebut , aku benar-benar telah lepas daripada gelaran pelajar sekolah . Haa dah nak 18 dah tahun hadapan . Tak boleh berperangai macam budak-budak lagi ya . Hehe .

Ramai juga yang bertanyakan kepada aku mengapa aku mengambil subjek Pendidikan Seni sedangkan aku seorang pelajar dalam aliran sains tulen . Garu kepala juga aku mahu menjawabnya kerana kadang-kadang aku sendiri juga kurang pasti mengapa aku mengambil subjek tersebut . Namun , di sekolah kami telah dinasihati oleh guru kelas untuk mengambil subjek Pendidikan Seni . Kata cikgu subjek ini sangat membantu seseorang pelajar . Oleh sebab itulah aku mengambil mata pelajaran ini . 

Pendidikan Seni merupakan subjek yang sangat menarik pada pandangan mata aku . Paling aku gembira ketika melaksanakan kerja kursus yang memerlukan aku untuk membuat ukiran kayu pada bingkai cermin . Pada awalnya agak sukar kerana perlu mengukir kayu sedangkan aku tidak mempunyai asas langsung untuk mengukir . Beberapa kali juga jari terluka ketika mengukir  . Namun , inilah yang dikatakan pengalaman . Hasilnya , markah penuh untuk aku . Yehaa . 

kayu aku ukir :)

4 hari ini akan digunakan untuk latihan melukis , aku masih tak tahu mahu pilih tajuk yang mana . Ini merupakan soalan pada tahun ini :

1. Anda sedang menyaksikan satu perlawanan bolasepak di padang sekolah. Lukis dari jarak dekat aksi beberapa pemain bola sepak dengan memberi penekanan kepada bentuk figura

2. Anda telah melawat ke kedai ikan hiasan. Anda terpikat dengan kecantikan warna, bentuk dan aksi seekor ikan laga dalam sebuah balang kaca. 
Gambarkan aksi seekor ikan laga dari jarak dekat dengan memberi penekanan kepada bentuk, warna, jalinan dan pergerakan.

3. Di sebuah gerai kelihatan seorang penjual sedang membetulkan susunan tanda harga barang jualannya yang terdiri daripada pelbagai jenis ikan, udang dan sotong. 
Gambarkan situasi ini dengan memberi penekanan kepada bentuk dan jalinan.

4. Dalam sebuah hutan kelihatan seekor haiwan aneh sedang bertindak dengan cemas untuk melepaskan diri daripada cengkaman tumbuh-tumbuhan ganjil. 
Lukis situasi ini mengikut imaginasi anda dengan menitikberatkan bentuk, warna dan aksi.

5. Di atas sebuah meja solek kelihatan minyak wangi, bedak, gincu, minyak rambut, sikat dan barang lain yang digunakan untuk perhiasan diri.
Lukis barang-barang perhiasan diri tersebut dengan memberi penekanan kepada bentuk, jalinan dan ruang.

6. Pada suatu pagi yang cerah, anda sedang berjalan di sebatang lorong yang kecil. Di kiri dan kanan lorong tersebut terdapat pokok-pokok pelbagai bentuk dan saiz. Di celah-celah pokok tersebut terdapat pancaran matahari. 
Lukiskan suasana tersebut dengan memberi penekanan kepada unsur jalinan, ruang, warna dan pencahayaan.

Pada pendapat korang , soalan yang manakah patut aku pilih ? Hehe . Buntu :(


BLOGLIST 2011 .. SELAMAT DATANG TAHUN BARU


Best Ashaari buka bloglist baru dan saya mahu jadi salah seorang yang berada di dalam list blog Ben Ashaari . Anda mahu turut serta ? Sila klik header di atas :)


Tuesday, December 7, 2010

Oh ADDMATH Oh FIZIK Oh KIMIA !

Perjalanan SPM aku hampir sampai ke penghujung . Ramai tanya aku ok ke subjek-subjek elektif aku ? Aku jawab di sini lah ya :)

Matematik Tambahan
Aku rasa agak ok berbanding peperiksaan sebelum ini . Harap-harap boleh lah dapat sekurang-kurangnya kredit bagi subjek ini . Yelah , addmath ini subjek yang sangat penting kan . Kita dah cuba yang terbaik . Harap keputusan pun terbaik . Hee . Insyaallah :)

Fizik
Ohh fizik . Sedikit kecewa dengannya . Antara 5 subjek tambahan , aku agak ok dalam fizik . Tapi ntahla , harap-harap ok lah jugak gred yang bakal aku terima nanti . Cuma frust sikit sebab tak baca bab Cathode Ray ( C.R.O ) tu . Banyak pula tu soalannya . Nasib badan , siapa suruh tak baca kan . Hehe

Kimia
Alamak . Kimia hanya keluar soalan-soalan mudah sementara aku lebih fokus kepada tajuk-tajuk sukar yang langsung tidak ada ditanya pada tahun ini . Sangat menyedihkan kerana aku ingat-ingat lupa tajuk-tajuk yang mudah itu . :(

Pengajaran yang aku dapat ialah jangan ambil mudah dengan tajuk-tajuk yang kita sudah fahami ketika mengulangkaji tajuk yang sukar . Kedua-duanya perlu berjalan seiring ya adik-adik . Ulangkaji tajuk yang sukar namun dalam masa yang sama , jangan diabaikan tajuk yang mudah :) 

Next paper : Biologi dan Pendidikan Seni Visual ! :)


Monday, December 6, 2010

MARI SERTAI BLOGLARIAN

Zila telah ditag oleh kakak sendiri iaitu Ainismaira untuk menyertai BLOGLARIAN ini .

Sila klik gambar di atas untuk lebih info

Syaratnya kena buat slogan dimulakan dengan Saya suka berblogwalking kerana . . .


Slogan saya :)
Saya suka berblogwalking kerana dengan blogwalking saya dapat berkenalan dengan lebih ramai blogger dan 
mendapat pelbagai tips tentang dunia blog agar dapat menjadi blogger terbaik satu hari nanti :)

Kena tag 3 orang :

Lepas entri anda sudah siap , post link entri tersebut di PADELBLOG


Photobucket

Friday, December 3, 2010

PLKN KUMPULAN 1 !

Hai semua . Aku telah terpilih untuk ke Program Latihan Khidmat Negara Siri 8 2011 Kumpulan 1 :) Adakah ini satu penyeksaan ? Kita ambil daripada sudut positif . Banyak pengalaman bakal aku dapat di sana . Sebenarnya aku memang kurang meminati aktiviti-aktiviti perkhemahan , tapi mana tahu lepas ni jadi suka kan . Kau orang nak tahu tak aku dapat di mana ?


Apa ? Malas nak klik , Ok ok , aku ditempatkan di KEM SYRUZ, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG . Sebenarnya aku belum pernah lagi ke Pulau Pinang . Maknanya inilah kali pertama aku ke sana dan menetap selama 2 bulan lebih iaitu daripada 4 Januari 2011 sehingga 13 Mac 2011 . 


Kem Syruz :) Google search

Melangkah ke PLKN merupakan kali pertama aku berenggang dengan keluarga tercinta . Sudah pasti aku akan sangat merindui keluarga dan rakan-rakan . 

Kawan-kawan yang lain , jika mahu tahu petempatan anda , sila ke 

atau 
hantar SMS ke PLKN KEM NO IC dan hantarkan ke 15888

Mana tahu aku boleh jumpa kenalan di sini . Hehe . Aku ada satu persoalan saja buat masa ini , bolehkah aku pulang untuk mengambil keputusan SPM nanti ? Ada siapa-siapa boleh jawab ?


Photobucket
Related Posts with Thumbnails